Dari Mana Asalnya Shisha

INFO : firedauz 14/Apr/2014


Jika diselak lipatan sejarah shisha, tidak banyak yang diketahui asal-usulnya secara mendalam dan tepat. Antara Turki, Mesir, Iran malah AS sekalipun menyatakan asal shisha adalah dari negara mereka. Tetapi teori sejarah yang paling kuat ialah shisha mula dicipta sekitar 600 tahun dahulu di utara India. India pada ketika itu amat popular dengan aktiviti menghisap tembakau sehinggakan pelbagai penyakit mula menular di kalangan rakyatnya.

Oleh itu, seorang ahli akademik bernama Hakim Abul-Fath Gilani pun mencipta sejenis alat untuk mengurangkan kesan keburukan asap tembakau dengan cara asap tembakau yang dibakar akan 'disegarkan' oleh air agar menjadi sejuk sebelum asap itu disedut semula. Kesan asap sejuk itu akan mengurangkan keradangan pada paru-paru yang sebelum ini sensitif kepada haba asap tembakau sekaligus mengurangkan kesan masalah kesihatan. Teori ini tidak pernah dibuktikan secara saintifik mahupun klinikal sehingga sekarang. Bagaimanapun, ramai yang mempercayai bahawa shisha lebih baik dari merokok.

Bentuk awal shisha ( sebelum ini disebut Nargile atau Hookah ) ketika itu agak ringkas dengan hanya menggunakan tempurung kelapa yang disebut narci. Setelah berkembang ke Iran, bentuknya diubah suai dan menjadi lebih moden dengan paip asal ditukar kepada hos menjadikan versi Parsi lebih praktikal. Perkataan shisha juga berasal dari Parsi yang disebut shisheh (kaca).
 
Pada abad ke 16-17, shisha mula berkembang ke Turki yang ketika itu diperintah oleh Empayar Uthmaniyyah. Ketika ini, bentuk shisha berubah lagi menjadi lebih berseni sesuai dengan pengaruh Uthmaniyyah pada masa itu. Dihujung hos ditambah muncung penyedut agar lebih mudah digunakan manakala balang diperbuat daripada kaca. Rekabentuk inilah yang kekal sehingga ke hari ini.
 
Pada 1633, Shisha bagaimanapun pernah diharamkan oleh pemerintahan Sultan Murad IV ketika era Empayar Uthmaniyyah kerana keburukan yang dibawa oleh shisha. Pengharaman tersebut tidak menghalang penghisap shisha untuk melepaskan ketagihan secara rahsia selama 14 tahun sebelum pengharaman itu berakhir selepas ditentang ramai.

Di Malaysia, pengaruh shisha agak perlahan dan mula popular di sekitar 90an khasnya di tempat tumpuan warga Timur Tengah sebelum menjadi popular di kedai-kedai makan tempatan bagi menggantikan rokok yang jelas menjejaskan kesihatan. Melihat pengaruh shisha yang semakin kuat, pihak berwajib mula memainkan peranan seperti JAKIM untuk mengkaji kesannya.

Atas sebab itu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak dan memutuskan bahawa menghisap shisha adalah haram.

ED_IN$)?>
avatar Profile Keluar
  • Hantar ke laman sosial Anonymously
  • Klik Untuk Log Masuk:
    avatar
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...